PENGUMUMAN

SEKOLAH CUTI JEREBU 5/6 OKTOBER 2015

Tuesday, 6 October 2015

Sejarah Awal Sekolah Kebangsaan Kampong Bandar, Baling Kedah.

SEJARAH AWAL PEMBUKAAN SEK. KEB.  KAMPONG BANDAR

Sejarah Sek. Kampong Bandar | Sebelum wujudnya sebuah sekolah yang lengkap pada tahun 1974,  sebuah sekolah sementara secara gotong royong telah didirikan.  Inisiatif mengadakan sebuah sekolah  adalah datangnya daripada usaha yang gigih oleh beberapa orang pemimpin tempatan.  Usaha mereka disokong oleh beberapa orang individu yang begitu berminat di bidang pendidikan.

Permintaan untuk mendirikan sebuah sekolah di Kampung Bandar telah dimajukan pada 1hb Mei, 1966. Permohonan untuk mendapatkan sebuah sekolah rendah telah diusahakan oleh En. Hashim b. Md Dom iaitu Pengerusi Kemajuan Kampong pada masa itu.   Permohonan daripada jawatankuasa itu mendapat perhatian daripada En. Abu Bakar Sulaiman, SMK, Pegawai Daerah Baling yang kemudiannya dipanjangkan ke Tuan Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kedah pada masa itu.

Dengan berkat dan semangat penduduk kampung yang inginkan sebuah sekolah rendah, aktiviti gotong-royong yang disertai  lebih kurang 200 orang  akhirnya telah berjaya mendirikan sebuah sekolah sementara pada 18hb. Ogos, 1966.  Pembinaan sekolah sementara itu selesai dibina pada akhir September, 1966.  

Sekolah yang bertiangkan batang pinang dengan panjangnya 60 kaki dan berlebar 20 kaki dianggap sudah memadai bagi menampung jumlah pelajar pada masa itu.  .   
Adalah dianggarkan pada masa itu,   seramai 35 orang murid dijangka akan memulakan pembelajaran di sekolah berkenaan.  Taburan pelajar adalah datangnya daripada beberapa buah kampung berdekatan iaitu:

1. Kampung Bandar
2. Kampung  Teluk Temelah
3. Kampung  Dusun Ghani
4. Kampung Cenerai
5. Kampung Kelian Dalam
6. Kampung Terabak
7. Kampung  Siput

Malangnya sekolah yang telah didirikan ini tidak dapat berfungsi dan berjalan dengan sepenuhnya.  Antara kesulitan yang dihadapi ialah untuk mendapatkan  guru yang akan mengajar.

Disebabkan  rancangan untuk mendapatkan tenaga pengajar menemui kegagalan,  pembelajaran kelas formal tidak dapat dijalankan dan terbantut.  Namun begitu, fungsi sekolah gotong-royong yang dapat  didirikan itu, masih lagi digunakan tetapi untuk menjalankan aktiviti kelas dewasa dan kelas memasak.

Walaupun begitu, pendidikan anak-anak dari kampung sekitar tidak terabai dan yang berminat akan meneruskan pendidikan dengan terpaksa meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Siong yang jauhnya lebih kurang 3 batu dan Sekolah Kebangsaan Bongor
( sekarang Sek Keb. Penghulu Abu Bakar ) sejauh 2   batu.
Tidak kurang juga yang tidak langsung menghantar anak-anak ke sekolah memandangkan pada masa itu sistem pengangkutan jalanraya adalah suatu masalah yang besar. Tiada jalan yang sempurna dan bertambah rumit  ketika hari hujan..

Pembinaan sekolah sementara di Kampung Bandar menggunakan bahan-bahan hutan adalah simbol perjuangan penduduk setempat untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna seperti orang lain.

Dalam hal ini, jasa para pemimpin tempatan seperti Yang Berhormat,  En. Shafie b. Abdullah dan Yang Berhormat,  En Harun b. Abdullah
( Allahyarham )
yang menjadi wakil rakyat dengan  sokongan moral dan tenaga cikgu Hashim Chik sebagai  Guru Besar di sebuah sekolah rendah pada masa itu amat besar ertinya.  Dengan jasa beliaulah ilham untuk mengadakan sebuah sekolah rendah wujud.    Begitu juga pengorbanan Tuan Haji Jamaluddin Hj Yaacob, Penghulu Mukim Siong pada masa itu.

0 comments:

Post a Comment